Jumaat, 2 Mei 2008

(MUAR) Hari hijrah burung di Parit Jawa

BH 30/4/08

MUAR: Persatuan Alam Semula jadi Johor akan mengadakan program Hari Penghijrahan Burung Sedunia yang pertama di negara ini, di Parit Jawa, dekat sini, pada 10 Mei depan. Penasihat persatuan itu, Vincent K K Chow, berkata pemilihan Parit Jawa dibuat berikutan kawasan itu menjadi pusat persinggahan burung botak atau nama saintifiknya Leptotilos Javanicus, sejenis burung unik yang berhabitat di kawasan berpaya atau pesisir pantai, jumlahnya semakin menghampiri kepupusan. Beliau berkata, mengikut perangkaan yang dikeluarkan sebuah pertubuhan pengkaji burung antarabangsa, setakat 2002 lalu, jumlah burung berkenaan di seluruh dunia kini tidak sampai 5,000 ekor.
"Di kawasan Parit Jawa ini saja terdapat sekurang-kurangnya 40 ekor burung botak singgah di sini bermakna ia menyampai hampir 10 peratus daripada populasi burung berkenaan," katanya. Katanya, program yang dijangka bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai burung terutama spesis yang berhijrah dari satu negara ke negara lain, selain memperkenalkan lokasi persinggahan burung sebagai satu destinasi eko-pelancongan. Katanya, pelbagai aktiviti akan diadakan dalam program yang dianjurkan dengan kerjasama agensi kerajaan termasuk Jabatan Perhutanan, Jabatan Perhilitan dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Johor (MTPNJ).
"Melalui program itu, kita berharap satu hari nanti Parit Jawa menjadi tumpuan peminat burung berkunjung untuk melihat burung botak singgah di sini yang secara tidak langsung dapat membantu membangunkan ekonomi di kawasan ini," katanya. Beliau berkata, program itu juga selaras dengan hasrat Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mahu usaha memperkenalkan eko-pelancongan dipertingkatkan di negara ini.

Tiada ulasan: