UM 1/5/08
KOTA TINGGI 30 April - Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Asiah Md. Arif berkata, kerajaan melaksanakan agenda membasmi kemiskinan secara menyeluruh tanpa mengira kaum bagi mencapai sasaran kemiskinan sifar menjelang tahun 2010.
Beliau berkata, setiap anggota masyarakat tanpa mengira keturunan dan agama perlu bersama membantu kerajaan bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang terpinggir dalam program membasmi kemiskinan oleh kerajaan.
Beliau berkata, bantuan itu juga akan membolehkan masyarakat tidak hanya bergantung kepada kerajaan bagi memastikan sasaran itu tercapai.
"Malah sikap prihatin dan penyayang masyarakat banyak membantu kerajaan khususnya dalam membantu golongan miskin dan kurang upaya," katanya yang ditemui selepas membuat program lawatan kerja di sekitar Bandar Kota Tinggi dan Kampung Makam di sini semalam.
Asiah menambah, walaupun pendapatan rakyat mungkin berbeza-beza disebabkan jenis pekerjaan atau sumber pendapatan namun yang penting ialah rakyat mesti diberi peluang yang baik untuk mencari sumber penghidupan untuk keluarganya.
Pada program itu, Asiah yang turut diiringi Naib Ketua Wanita Bahagian Pengerang, Fatimah Abu Bakar meluangkan masa mengunjungi warga emas, Norjiah Othman, 82, dan seterusnya menyampaikan sumbangan peribadi kepada warga emas tersebut.
Menurutnya, beliau telah dimaklumkan Ketua UMNO cawangan kampung itu, Idris Abu Bakar bahawa seorang individu dari Johor Bahru yang enggan dikenali mahu membaiki rumah Norjiah.
Asiah seterusnya mengucapkan terima kasih atas kesediaan individu tersebut dan berharap individu itu dapat berhubung terus dengan Idris bagi berbincang serta memudahkan urusan kerja-kerja membaiki rumah itu.
Dalam pada itu, Asiah juga akan berusaha memastikan permohonan sara hidup diluluskan segera selain mendapatkan bekalan elektrik untuk keperluan dan keselesaan warga emas tersebut.
Jumaat, 2 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan