Jumaat, 2 Mei 2008

(JOHOR) MB sokong keputusan ASJ adakan EGM

BH 28/4/08

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyokong keputusan Pengurus Amanah Saham Johor (ASJ), Pelaburan Johor Berhad (PJB) mengadakan Mesyuarat Luar Biasa (EGM) Pemegang-Pemegang Unit ASJ bagi menutup skim unit saham berkenaan. Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, berkata keputusan itu untuk kebaikan semua pihak yang terbabit dalam pelaburan ASJ. "Keputusan mengadakan EGM untuk kebaikan semua pihak kerana pelabur ASJ mendapat pulangan RM1 untuk satu unit saham yang mereka miliki. Selain itu, sepanjang tempoh pelaburan ASJ, pelabur sudah mendapat dividen terkumpul.
"Bila kita campurkan dividen terkumpul dan pemberian balik RM1 untuk satu unit saham, kita berpendapat ASJ memberi faedah kepada pelabur pemegang unit saham ini. Oleh itu adalah difikirkan sesuai untuk menutup amanah saham ini, " katanya selepas merasmikan Pusat Pembangunan Golf Remaja Johor, di Royal Johor Country Club (RJCC) di sini semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan PJB mengadakan EGM untuk menutup skim amanah saham itu. Bagaimanapun, EGM terpaksa ditangguhkan pada 15 Mei ini kerana tidak cukup korum. Abdul Ghani berkata, EGM yang akan diadakan pada 15 Mei ini akan diteruskan walaupun tidak cukup korum kerana peruntukan undang-undang membenarkan PJB berbuat demikian.
Pada 24 April lalu, EGM ASJ terpaksa ditangguhkan selepas hanya 1,286 pemegang unit hadir dan menghantar borang proksi dan jumlah itu tidak mencukupi 25 peratus kehadiran ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerusi Garis Panduan Skim Unit Amanah bagi membolehkan mesyuarat dijalankan untuk meluluskan resolusi luar biasa. Timbalan Pengerusi PJB, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, dipetik berkata dengan penangguhan itu, harga ASJ pada nilai aset bersih ialah RM0.549 sen setiap unit kerana harga tawaran Skim Belian Balik Bersyarat sudah tamat bulan ini. Bagaimanapun, katanya, PJB yang juga anak syarikat Johor Corporation (JCorp), akan membuat rayuan kepada JCorp untuk menyambung semula perjanjian dan tawaran skim pemulihan itu pada harga RM1, sama seperti harga belian pemegang saham pada mula ASJ dilancarkan semula pada 1992. ASJ dulu dikenali sebagai Tabung Pelaburan Johor adalah skim unit amanah negeri yang pertama dilancarkan pada 25 Oktober 1977 sebelum dilancarkan semula oleh PJB menjadi dana yang menggabungkan modal individu Bumiputera.
Pada Februari 2004, kerajaan negeri dan JCorp melaksanakan skim pemulihan harga ASJ secara berperingkat selama tiga tahun yang membenarkan pemegang saham menebus unit masing-masing pada harga RM1 dan bermula 15 Februari 2007, pemegang saham dibenarkan menebus semua unit pegangan mereka pada nilai sama hingga 8 April lalu.

Tiada ulasan: