BH 2/5/08
JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan lawatan mengejut di kawasan estet seluruh negara bagi meninjau keadaan pekerja asing berikutan menerima aduan kononnya kebajikan hampir 80 peratus pekerja asing di ladang terabai. Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata beliau sendiri akan turun padang melawat estet di Johor sebagai lokasi pertama bagi meningkatkan kesedaran majikan terutama pengurusan estet mengenai tanggungjawab terhadap kebajikan pekerja asing. Katanya, pekerja asing yang bekerja di negara ini dilindungi mengikut akta tertentu yang membolehkan mereka mempunyai hak menikmati gaji setimpal dan imbuhan lain daripada majikan.
"Majikan perlu sedar bahawa mereka perlu menghormati pekerja asing yang bekerja dengan mereka kerana pekerja asing itu manusia seperti kita," katanya di sini, semalam. Dr Subramaniam berkata, masalah itu semakin sukar diselesaikan apabila kebanyakan pekerja asing terbabit tidak diambil bekerja secara langsung dengan syarikat pengurusan estet, tetapi melalui ejen pekerja asing. Mengulas tindakan Kerajaan Selangor yang ingin mengubah cadangan mengenakan caj levi terhadap pekerja asing di negeri itu, Dr Subramaniam berkata, keputusan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana peraturan itu di bawah kuasa pentadbiran Persekutuan.
Katanya, alasan Kerajaan Selangor ingin menggunakan kutipan wang levi daripada majikan pekerja asing sebagai dana untuk melatih belia tempatan dalam pelbagai bidang kemahiran tidak perlu kerana kerajaan sudah menyediakan 26 institusi latihan perindustrian di negara ini. "Seramai 18,000 belia dapat menjalani latihan pada satu-satu masa dalam pelbagai bentuk kemahiran di institusi kerajaan dan sebenarnya, kita memang sentiasa memikirkan kaedah terbaik menyediakan latihan dalam melahirkan modal insan untuk mengisi keperluan industri," katanya. Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan mengenakan caj RM9 sebulan atau RM100 setahun terhadap kira-kira 1.5 juta pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor bagi menyelesaikan masalah belia tempatan menganggur di negeri itu. Bagaimanapun, kelmarin, beliau berkata, kerajaan negeri sedang meneliti kaedah lain untuk dikenakan kepada pekerja asing yang tinggal di Selangor apabila levi tidak boleh dikenakan kerana mendapat bantahan beberapa pihak.
Jumaat, 2 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan