Jumaat, 2 Mei 2008

(JOHOR) Johor bebas kemiskinan 2010


UM


Oleh MUHAMMAD ZIKRI



ABD. Latiff Yusof (tengah) menyampaikan bantuan kepada peserta Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) Daerah Pontian di Pontian, kelmarin.
PONTIAN 27 April - Sebanyak 9,450 keluarga di negeri ini dikenal pasti masih berada dalam kategori miskin dan miskin tegar yang akan dibantu untuk bebas daripada belenggu masalah itu menjelang tahun 2010.
Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Abd. Latiff Yusof berkata, jumlah tersebut adalah 1.3 peratus daripada bilangan penduduk negeri ini ketika ini iaitu kira-kira 3.2 juta orang.
Katanya, memandangkan tempoh yang diberikan tinggal 20 bulan, perancangan yang teratur perlu dilaksanakan kerana usaha membasmi kemiskinan telah menjadi agenda utama Johor.
Beliau berkata, kerjasama serta sokongan daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan matlamat tersebut dapat dicapai sekali gus menjadikan negeri ini sifar kemiskinan.
"Pegawai-pegawai daerah, wakil rakyat, ketua jabatan, penghulu dan ketua kampung semuanya mempunyai peranan serta tanggungjawab bagi merealisasikan sasaran itu.
"Begitu juga mereka perlu memastikan tiada golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir atau terlepas pandang dalam Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR)," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis jamuan makan malam dan penyampaian bantuan peserta SPKR sempena Mesyuarat Kumpulan Fokus, Program Pembangunan Kemiskinan Negeri Johor di sini semalam.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad; ADUN Kukup, Datuk Md. Othman Yusof; Pegawai Daerah Pontian, Mislan Karmani dan Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Ahmad Ma'in.
Turut Hadir, Ketua Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor, Abdul Rashid A. Rahman; Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Zahaliman Jamin dan Ketua Penolong Pegawai Daerah, Mohd. Khair Johari Salleh.
Mesyuarat itu adalah kali kelapan yang telah dilakukan oleh Kumpulan Fokus di daerah itu bagi mengumpul data sebenar keluarga miskin dan miskin tegar.
Abd. Latiff berkata, bagi daerah Pontian yang mempunyai 171,000 penduduk, terdapat sebanyak 1,096 keluarga yang dikenal pasti sebagai keluarga miskin dan miskin tegar.
Katanya, golongan tersebut yang diibaratkan sebagai 'pesakit' memerlukan rawatan 'doktor' bagi membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.
"Setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan, kerajaan negeri menaruh keyakinan masalah kemiskinan tegar boleh diatasi sekiranya semua pihak dapat memberikan komitmen serta kesungguhan," jelasnya.
Justeru itu, beliau meminta ketua-ketua kampung dan penghulu-penghulu mukim agar mendampingi golongan tersebut dengan menziarahi serta melihat dengan lebih dekat kehidupan mereka.
"Begitu juga dengan jabatan-jabatan kerajaan, mereka diminta supaya dapat memperkemaskan lagi sistem penyampaian kerana mereka juga mempunyai pelbagai program bagi membantu golongan miskin dan miskin tegar," katanya.

Tiada ulasan: