Jumaat, 2 Mei 2008

(KLUANG) Jangan musnah tanaman pekebun

UM


Jangan musnah tanaman pekebun
oleh JAAFAR AHMAD
JOHOR BAHRU 26 April - Sahabat Suaram Johor meminta Pejabat Tanah Kluang supaya tidak memusnahkan tanaman milik 26 pekebun Projek Buku Hijau di tanah seluas kira-kira 18 hektar di Kampung Gajah, Kluang.
Pengerusinya, Low Meng Leong berkata, tindakan itu akan mengakibatkan para pekebun mengalami kerugian hampir RM1 juta kerana telah mengusahakan tanah itu sejak 1968.
Menurutnya, walaupun projek itu ditamatkan pada 1992, namun pekebun berkenaan telah memohon kepada kerajaan untuk melanjutkan lagi tempoh menguruskan tanaman itu, tetapi sehingga kini tidak menerima sebarang jawapan.
"Malangnya, pekebun mendapati satu papan tanda bagi cadangan projek penempatan mangsa banjir telah didirikan di tepi jalan besar Kampung Gajah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, papan tanda itu turut menyatakan pembinaan rumah teres, kedai, masjid serta bangunan lain tidak jauh dari situ.
Meng Leong berkata, Pejabat Tanah Kluang pula telah mengeluarkan notis pada 14 Mac lalu untuk memusnahkan tanaman di atas tanah terbabit dalam masa 14 hari.
Sehubungan itu, Sahabat Suaram menggesa kerajaan negeri menarik balik arahan tersebut dan mengadakan perjumpaan dengan para pekebun berkenaan bagi menyelesaikan isu itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Hoo Seong Chang melahirkan simpati terhadap pekebun terbabit ekoran tindakan Pejabat Tanah Kluang memusnahkan tanaman itu bagi memberi laluan kepada projek penempatan mangsa banjir Kampung Sri Cahaya, Kluang, tiga hari lalu.
Tanaman itu termasuk pokok pisang, betik, tebu dan timun yang merupakan tanaman kontan.
"Saya akan membawa perkara ini pada mesyuarat Exco kerajaan negeri pada waktu terdekat," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor.

Tiada ulasan: