Jumaat, 2 Mei 2008

(JOHOR) Karpal minta tak terus tindakan pelajar hasut bunuh

BH 29/4/08

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta Jabatan Peguam Negara tidak meneruskan tindakan terhadap pelajar kolej yang menyerah diri kepada polis kelmarin berhubung dakwaan menghasut bagi pembunuhan beliau dalam laman web Pas Johor, baru-baru ini. Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, berkata beliau menerima permohonan maaf bertulis remaja berusia 19 tahun itu dan sedia mengabaikan laporan polis yang dibuatnya Sabtu lalu di Pulau Pinang berhubung kejadian terbabit. “Bagaimanapun, saya tidak dapat menarik balik laporan polis yang dibuat tetapi memohon kepada Peguam Negara supaya jangan menghadapkan remaja ini ke mahkamah kerana ia mampu menjejaskan masa depannya.
“Saya juga ingin mengingatkan Pas Johor supaya tidak lagi lalai hingga membenarkan kenyataan seumpama itu dipaparkan di laman web mereka pada masa depan,” katanya di lobi Parlimen selepas perasmian penggal pertama Parlimen ke-12, di sini semalam. Dalam laporan polis Sabtu lalu di Pulau Pinang, Karpal mendakwa komen pengulas yang dikenali sebagai ‘Alif’ dalam laman web Pas, berbaur ugutan bunuh. Katanya, komen itu mendakwa beliau (Karpal) menghina Islam dan ‘darahnya halal dibunuh’. Dalam perkembangan lain, Karpal menafikan laporan polis Umno Kelantan yang mendakwa beliau menghina dan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mohammad Faris Petra Sultan Ismail Petra berhubung isu kewarganegaraan penduduk bukan Melayu negara ini.
Beliau menjelaskan, teguran terhadap Tengku Mohammad Faris hanya bertujuan menerangkan fakta sebenar mengenai dakwaan bahawa hak keistimewaan orang Melayu adalah sebagai balasan kepada pemberian taraf warga negara kepada 2.7 juta penduduk bukan Melayu di sini selepas merdeka.

Tiada ulasan: