BH 2/5/08
Laporan Azida Shaharuddin
Orang ramai boleh dengar isu dibangkitkan ahli majlis secara telus JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) muncul sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang melaksanakan Mesyuarat Penuhnya secara siaran langsung bagi tontonan ramai khususnya warga bandar raya ini menerusi laman web mereka. Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Naim Nasir, berkata setiap kali pihaknya mengadakan Mesyuarat Penuh MBJB, orang ramai kini boleh melayari laman web PBT itu di www.mbjb.gov.my, untuk menyaksikan persidangan berkenaan secara langsung setiap bulan bagi mengetahui pelbagai perkara yang dibincangkan.
Beliau berkata, menerusi perkhidmatan itu juga, orang ramai juga boleh mendengar isu-isu yang dibangkitkan ahli majlis termasuk masalah berkaitan penduduk setempat di bandar raya ini. "Siaran langsung ini dirakam empat kamera yang dilengkapi dalam dewan pejabat MBJB, yang merakam segala perkara ketika mesyuarat diadakan, dan pada masa sama disalurkan secara terus ke laman web kami. "Hari ini (semalam) adalah peringkat percubaan pertama PBT ini melaksanakan sistem perkhidmatan secara langsung ini, dan saya percaya ia akan diteruskan pada bulan akan datang," katanya ketika mempengerusikan sidang Mesyuarat Penuh MBJB, di sini, kelmarin.
Sehubungan itu, Mohd Naim berkata, usaha itu adalah antara komitmen MBJB dalam menjadikan PBT itu telus kepada masyarakat. "Selain itu, mereka yang melayari laman web kami juga dapat melihat penyata kewangan yang dipamerkan supaya orang ramai tahu ke mana wang mereka dibelanjakan, iaitu menerusi hasil kutipan cukai oleh pihak kami, dan aktiviti yang dijalankan MBJB untuk orang ramai, " katanya.
Jumaat, 2 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan