UM
Oleh JAAFAR AHMAD
LONGGOKAN sampah di atas jalan disebabkan kekurangan ruang untuk membuang sampah di Perumahan Rakyat Denai di Kempas, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 29 April - Sebahagian daripada 2,000 keluarga dari 13 buah kampung setinggan di sini enggan berpindah ke flat yang disediakan oleh kerajaan di Projek Perumahan Rakyat Denai, Kempas, di sini pada Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Setinggan Kempas, Ramli Ibrahim berkata, sebaliknya mereka menuntut kerajaan negeri agar mengekalkan mereka tinggal di kampung masing-masing atau mengurniakan tanah bagi mendirikan rumah baru.
Menurutnya, ini kerana flat yang disediakan secara sewa itu kurang selesa dan tidak mempunyai jaminan keselamatan.
"Flat ini juga masih tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF) manakala sistem pembuangan sampah pula kurang sempurna," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua 13 kampung yang terbabit dalam penempatan semula itu ialah Kampung Kempas 1, Kampung Kempas 2, Kampung Rahmat 1, Kampung Rahmat 2, Denai Pinggiran, Denai Utama dan Kampung Sawa.
Turut terbabit ialah Kampung Denai Aman, Kampung Permatang, Kampung Lurah, Kampung Denai Permai, Kampung Lembah Murni dan Kampung Gudang Beras.
Ramli berkata, setakat ini kira-kira 100 keluarga telah pun berpindah ke flat itu walaupun berkeadaan serba kekurangan.
"Ini kerana lifnya masih tidak berfungsi dan seluruh bangunan tidak diselenggara dengan sempurna," katanya.
Menurutnya, disebabkan tiada saluran pembuangan sampah di setiap blok menyebabkan penghuni membuang sampah-sarap di merata kawasan.
Beliau berkata, berikutan itu pihaknya akan mengadakan perhimpunan berhubung perkara itu di Lot 42960 Jalan Denai 2, Kempas Baru pada Khamis ini, pukul 2 petang.
Sementara itu, seorang penghuni Blok Sri Seroja flat berkenaan, Mustapha Kamal Ibrahim, 43, kesal kerana flat tersebut tidak diselenggara dengan sempurna oleh pihak berkenaan.
"Paling dikesali lifnya masih tidak berfungsi menyebabkan timbul masalah kepada pengguna terutama golongan tua," katanya.
Menurutnya, beliau difahamkan bahawa keseluruhan bangunan tersebut masih belum mempunyai CF walaupun telah diduduki lebih setahun lalu.
Jumaat, 2 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan