Jumaat, 2 Mei 2008

(TENGGARA) Kejora jelaskan bil elektrik, air Rela Bandar Tenggara

UM


Kejora jelaskan bil elektrik, air Rela Bandar Tenggara
JOHOR BAHRU 28 April - Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) akan menjelaskan masalah tunggakan bil elektrik dan air yang digunakan di pejabat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Bandar Tenggara di sini dengan segera.
Pengurus Besarnya, Azizan Md. Rais, bagaimanapun berharap Rela Bandar Tenggara akan segera menjelaskan kembali bayaran-bayaran yang telah didahulukan oleh Kejora.
Azizan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedang mengambil tindakan menyemak kembali bil-bil terkini bagi memastikan nilai tunggakan dan seterusnya menjelaskan bayaran tersebut.
"Masalah tunggakan bayaran bil elektrik berlaku tanpa pengetahuan dan persetujuan pengurusan Kejora.
"Semuanya bermula daripada persetujuan Rela dan kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pembangunan dan pembinaan Tasik Bandar Tenggara yang menggunakan kemudahan bekalan elektrik dan air daripada Pusat Rela Bandar Tenggara," katanya.
Sehubungan itu, katanya adalah menjadi tanggungjawab Rela untuk membayar bil-bila bagi bekalan elektrik dan air.
Namun, apabila masalah tersebut timbul, pihaknya amat mengambil berat dan akan menyelesaikannya dengan segera.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan keluhan anggota Platun 195 Rela Bandar Tenggara di sini ekoran kesukaran pihaknya untuk menjalankan tugas berikutan ketiadaan bekalan elektrik dan air di pejabat Rela berkenaan.
Menurut Azizan, bangunan yang dibina oleh pengurusan Kejora bertujuan untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada Rela Bandar Tenggara melaksanakan aktiviti kawalan keselamatan.
Tambahnya, perkara yang sama juga telah dibangkitkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Masyarakat Bandar (JKKMB) Bandar Tenggara.

Tiada ulasan: