JOHOR BAHRU 1 Mei - Satu kertas kerja mengenai pembentukan Rukun Perjuangan Melayu akan dibentangkan pada malam terakhir Kongres Permuafakatan Melayu yang akan diadakan di sini mulai esok.
Ketua 1 Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, sebanyak sembilan teras Rukun Perjuangan Melayu akan dibentangkan yang bertujuan untuk memastikan orang Melayu bersatu hati dalam menegakkan hak dan keadilan yang diperjuangkan.
"Antara intipati rukun itu ialah menjaga, memelihara dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan kedaulatan sebagai tonggak kewujudan Persekutuan Melayu serta mempertahankan kedudukan dan kesucian Islam sebagai agama rasmi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dijadual merasmikan kongres dua hari berkenaan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.
Kongres anjuran Majlis Muafakat Melayu yang diterajui Gabungan Penulis Nasional (Gapena) itu dijangka dihadiri 1,000 wakil daripada 300 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan merupakan reaksi terhadap perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Perhimpunan tersebut diadakan berikutan keputusan pilihan raya umum menunjukkan masyarakat Melayu kini berpecah belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi ekonomi dan politik.
Amiruddin berkata, satu jawatankuasa tetap Majlis Pemuafakatan Melayu turut akan ditubuhkan bagi memantau perkembangan orang Melayu secara berterusan.
"Jawatankuasa tersebut akan ditugaskan untuk memantau perjuangan orang Melayu secara berterusan dan menyeluruh," jelasnya.
Antara mereka yang akan hadir dalam kongres tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Johor, Tan Sri Muhammad Ali Hashim; tokoh budaya, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Hassan Ahmad.
Utusan Malaysia merupakan akhbar rasmi kongres berkenaan.
Amiruddin berkata, kongres itu hanya melibatkan wakil-wakil NGO dan bukan mereka yang terlibat dalam politik.
"Ini tiada kaitan dengan mana-mana parti politik," jelasnya.
Beliau turut dijemput orang ramai khususnya kaum Melayu bersama-sama menyertai program itu sebagai pemerhati.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia petang ini di Persada mendapati semua kerusi dan persiapan pentas telah dilakukan bermula tengah hari tadi.
Dewan yang boleh memuatkan hampir 3,000 orang itu turut dihiasi poster kongres di bahagian pintu masuknya.
Jumaat, 2 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan