BH 29/4/08
KLUANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Hoo Seong Chang, akan berjumpa Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, bagi mencari penyelesaian masalah yang dihadapi 26 pekebun di Kampung Gajah, yang mendakwa tanaman mereka akan dimusnahkan oleh Pejabat Tanah Daerah Kluang. Pertemuan itu dijangka membincangkan kawasan baru sebagai ganti kerana tanah yang diusahakan pekebun itu ketika ini akan dibangunkan dengan projek pembangunan. Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Hishammuddin Hussein, berkata beliau sudah menghubungi pejabat Menteri Besar untuk membincangkan masalah itu dan mencari kaedah sesuai untuk menyelesaikannya.
Beliau berkata, beberapa kawasan sudah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai ganti tanah kebun sedia ada tetapi ia tidak boleh diumumkan bagi mengelak salah tafsiran oleh mana-mana pihak. Katanya, Hoo akan mengadakan perbincangan lanjut dengan penduduk mengenai kesesuaian kawasan yang akan dipilih itu. "Saya memandang serius perkara ini yang difahamkan sudah berlarutan agak lama dan saya sudah meminta YB Hoo (Hoo Seong Chang) untuk bertemu Menteri Besar selain mendekati serta berinteraksi dengan penduduk untuk menyelesaikan masalah ini.
"Masalah ini harus diselesaikan segera kerana kita tidak mahu ada pihak mengeksploitasinya sekali gus mencetuskan isu perkauman atau polemik politik," katanya. Baru-baru ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa tanaman milik 26 pekebun di Kampung Gajah, di sini akan dimusnahkan oleh Pejabat Tanah Daerah Kluang. NGO berkenaan turut meminta Pejabat Tanah Kluang supaya tidak meneruskan arahan memusnahkan tanaman pekebun di tanah seluas kira-kira 18 hektar itu. Pertubuhan itu mendakwa jika tindakan itu diteruskan ia akan menyebabkan pekebun mengalami kerugian hampir RM1 juta kerana sudah mengusahakan tanah itu menerusi Projek Buku Hijau sejak 1968.
Walaupun Projek Buku Hijau ditamatkan pada 1992, pekebun di kawasan terbabit sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk melanjutkan lagi tempoh untuk mengusahakan tanah itu, tetapi sehingga kini tidak menerima sebarang jawapan.
Jumaat, 2 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan