Jumaat, 2 Mei 2008

(JOHOR) Karpal dakwa diancam bunuh kerana hina Islam

BH 27/4/08

GEORGETOWN: Penasihat DAP Kebangsaan, Karpal Singh, semalam, membuat laporan polis berhubung berita yang disiarkan dalam laman web Pas Johor yang mendakwa beliau memburukkan Islam dan darahnya halal untuk dibunuh. Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, R S N Rayer, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, kira-kira jam 2.30 petang. Bercakap kepada pemberita selepas itu, Karpal berkata, perbuatan pihak tertentu memburukkannya adalah fitnah.
"Saya bukan anti-Islam dan dakwaan yang dilemparkan itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata," katanya. Beliau berkata, tindakan pihak tertentu menuduhnya sebagai seorang anti-Islam tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan apa yang diperjuangkan. Katanya, tiada sebab untuknya berbuat demikian kerana baginya agama Islam adalah agama rasmi negara dan bukannya sebagai negara Islam kerana Malaysia dianggap negara sekular.
Beliau kesal dengan dakwaan yang dilemparkan seorang penulis dikenali sebagai Aliff menerusi laman web Pas Johor yang mengatakan bahawa dirinya memburukkan Islam dan darahnya halal untuk dibunuh. “Bagi saya, ini adalah sesuatu yang sukar diterima sehingga saya menerima ancaman bunuh kerana didakwa memburukkan agama Islam, sekali gus membuatkan orang Islam menganggap saya sebagai Salman Rushdie. "Saya tidak faham sama sekali mengapa segelintir pihak mahu menuduh saya sebagai seorang anti-Islam kerana selama ini amat menghormati agama lain. Apa yang akan saya peroleh jika bertindak demikian," katanya. Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak tidak menyamakannya dengan Salman Rushdie dan ancaman bunuh ke atasnya tidak menyelesaikan masalah.

Tiada ulasan: