Jumaat, 2 Mei 2008

(JOHOR) 'Usul Batu Pahat bukan pendirian Umno Johor'

BH 28/4/08

JOHOR BAHRU: Pendirian Umno Bahagian Batu Pahat pada mesyuarat perwakilan khas kelmarin yang mahu Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melaksanakan peralihan kuasa pada Disember ini bukan melambangkan pendirian keseluruhan 26 bahagian Umno di Johor. Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata setiap bahagian Umno mempunyai pendirian masing-masing dan tindakan meluluskan usul peralihan kuasa kepada Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak adalah pendirian bahagian itu. "Kita di Pasir Gudang mempunyai pendirian tersendiri, begitu juga pendirian Umno Johor Bahru atau Kulai...ia bukan mewakili Umno Johor," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis post mortem Pilihan Raya Umum Ke-12 di Dewan Raya Plentong, di sini, semalam.
Kelmarin, akhbar melaporkan Mesyuarat Perwakilan Khas Umno Bahagian Batu Pahat meluluskan usul meminta Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melaksanakan pelan peralihan kuasa sebelum Disember 2008 kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak berdasarkan amalan biasa Umno. Ketua bahagian itu, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata cadangan itu dibuat berikutan desakan pemimpin akar umbi yang mahu Presiden parti bertanggungjawab terhadap keputusan kurang memberangsangkan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Sementara itu, menjawab soalan sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) atau sebaliknya, Khaled berkata, beliau masih belum bersedia memberikan sebarang ulasan mengenainya.

Tiada ulasan: