UM
KOTA TINGGI 27 April - Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Saddique tidak akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tenggara pada pemilihan akan datang.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor berkata, keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak empat tahun lalu itu adalah atas dasar perpaduan Melayu dan memperkukuhkan UMNO bahagian.
"Demi kepentingan parti, UMNO Bahagian Tenggara dan perpaduan masyarakat Melayu, saya mengambil keputusan tidak menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian UMNO Tenggara pada pemilihan bahagian 2008 ini," katanya.
Halimah, 46, berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perjumpaan dan Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Jentera Pilihan Raya Cawangan-Cawangan dalam UMNO Bahagian Tenggara di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki; Ketua Pergerakan Pemudanya, Suhaimi Khalid; Naib Ketua Wanita UMNO bahagian, Latifah Sudin dan Ketua Puteri, Anita Murad.
Sebanyak 42 cawangan dalam UMNO bahagian itu akan mengadakan pemilihan pada September ini.
Halimah berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan perpecahan dan UMNO bahagian kembali kuat sebagaimana ia ditubuhkan pada 1994.
"Ia supaya UMNO Bahagian Tenggara kembali ke asal usul sejarah penubuhannya iaitu pada tahun 1994 dengan kaedah berpolitik secara sihat," katanya.
Dalam ucapannya itu, Halimah secara peribadi mencadangkan agar Baderi menggantikannya kerana beliau adalah pemimpin yang berwibawa dan paling layak.
"Saya harap beliau dapat menerima tanggungjawab ini. Sama ada beliau dapat menerimanya atau tidak ia bergantung kepada sokongan oleh ahli parti," jelasnya.
Halimah berkata, kesetiaan dirinya kepada UMNO tidak akan berbelah bahagi dan terus memberi sokongan kepada Baderi untuk memimpin dengan sokongan 100 peratus terhadap kepimpinan bahagian akan datang.
Beliau turut mengajak semua ahli parti supaya bersama mengukuhkan ikatan persaudaraan, bekerja kuat, berpadu dan melupakan segala persengketaan bagi memulihkan UMNO Bahagian Tenggara.
Jumaat, 2 Mei 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan